Arini i nk share artikel pasal Valentine's Day. Hari yg ditunggu2 pasangan kekasih. Tggl seminggu lg. Moga artikel ini memberi manfaat kepada kita semua umat Islam. Selamat Membaca =)
Fenomena sebahagian remaja menjadikan Valentine’s Day sebagai perayaan paling diminati dan sangat-sangat ditunggu untuk diraikan bersama kekasih amat menggusarkan. Ia sebenarnya merupakan satu fenomena ajaib dan aneh kerana perayaan ini tidak pernah disisipkan secara rasmi di mana-mana kalender. Akan tetapi ia terus diingati dan diraikan saban tahun.
To be my Valentine?
Bagi mereka yang meraikan sambutan Valentine’s Day
ungkapan ‘To be my Valentine’ sering bermain di bibir. Kebiasaannya ia
diungkapkan oleh teruna kepada si dara dalam menzahirkan kecintaannya.
Menurut Ken Sweiger, perkataan “Valentine” berasal dari bahasa Latin yang mempunyai maksud “Yang Maha Perkasa, Yang Maha Kuat, dan Yang Maha Kuasa”. Menurutnya lagi, kata ini sebenarnya digunakan pada zaman Rom Kuno ditujukan kepada Nimrod dan Lupercus, tuhan orang Romawi. Sedar atau tidak, menurut Sweiger, jika seseorang meminta orang lain atau pasangannya menjadi “To be my Valentine?”, maka dengan hal itu sesungguhnya ia telah secara terang melakukan suatu perbuatan yang bercanggah dengan aqidah dan dimurkai Allah. Ini karena ia telah meminta seseorang menjadi “Sang Maha Kuasa” dan hal ini sama dengan usaha menghidupkan kembali budaya pemujaan berhala.
Mengapa Mawar Merah?
Selain ucapan ‘To be my Valentine’ pemberian jambangan mawar
merah oleh si teruna kepada si dara juga sering menjadi amalan pada Valentine’s Day.
Ia dianggap satu simbol dalam menzahirkan kasih sayang ‘hakiki’.
Sebenarnya perbuatan ini merupakan amalan kebudayaan Eropah dengan
diselitkan kepercayaan aneh dan karut. Menurut satu mitos Rom kuno,
mawar merah merupakan bunga kegemaran Venus, si dewi cinta. Dewi itu
amat sinonim dengan memperingati kekasih. Ia tidak ada kaitan dengan
Islam dan hanya mengikut ‘teladan’ mitos karut.
Amalan memberi bunga mawar merah ini sebenarnya mula dipopularkan
pada tahun 1970an. Ia berlaku selepas Raja Charles II mengarang buku
yang bertajuk The Languange of Flowers, yang menguraikan
tentang amalan kebiasaan bangsa Persia yang mengungkapkan perasaan
melalui bunga. Sejak itu pemberian mawar merah terutama pada saat Valentine’s Day amat popular. Tanpa mengetahui sebabnya ia terus menjadi amalan.
Hukum Menyambut Valentine’s Day
Sebenarnya, majoriti tokoh agama telah menyatakan bahawa
menyambut atau meraikan Sambutan Hari Valentine ini adalah bertentangan
dengan Syarak. Menurut Panel Kajian Aqidah (PKA) dan Panel Kajian
Syariah (PKS) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia amalan ini adalah haram
dan bertentangan dengan ajaran Islam.”
Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam
Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005
memutuskan bahawa amalan merayakan Hari Valentine tidak pernah
dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur
Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah
bercanggah dan dilarang oleh Islam. Oleh itu amalan meraikan Hari
Valentine tidak digalakkan oleh agama Islam.
Pengharaman dan larangan ini bukanlah kerana ingin menghalang
keseronokan atau dengki di atas aktiviti trend baru zaman moden ini.
Tetapi ianya berlandaskan kepada apa yang dinyatakan di dalam Al-Quran
dan As-Sunnah yang menjadi panduan seantero umat manusia bagi mengecapi
keindahan hidup di dunia dan diakhirat.
Sejarah Valentine’s Day
Menurut Rizki Ridyasmara di dalam bukunya, Valentine Day, Natal, Happy New Year, April Mop, Hallowen: So What?,
para sejarawan masih tidak mempunyai kata sepakat berkenaan peristiwa
apa sebenarnya menjadikan Hari Valentine terus diperingat. Tetapi
daripada beberapa sumber sejarah terdapat empat (4) versi pendapat yang
amat popular berkaitan dengannya.
Pendapat Pertama
Pendapat pertama mengaitkan Sambutan Hari Valentine dengan pesta
sambutan kaum Rom kuno sebelum kedatangan agama Kristian yang dinamakan
Lupercalia. Lupercalia merupakan upacara penyucian diri yang berlangsung
dari 13 hingga 18 Februari. Dua hari pertama mereka menyembah dewi
cinta (Queen of Feverish Love) bagi kaum Rom kuno yang bernama Juno
Februata. Pada hari ini para pemuda Rom memilih nama-nama gadis-gadis
yang menjadi pilihan mereka lalu dimasukkan ke dalam sebuah kotak.
Setiap pemuda tersebut kemudiannya akan mencabut nama tersebut dari
dalam kotak itu secara rawak. Nama gadis yang tertera di dalam kertas
tersebut akan menjadi pasangan yang akan menjadi objek hiburan seksnya
selama setahun. Pada 15 Februari, mereka meminta perlindungan dewa
Lupercalia dari gangguan serigala. Pada hari itu mereka akan menyembelih
seekor anjing dan kambing. Kemudian mereka akan memilih dua pemuda Rom
yang dianggap paling gagah untuk menyapukan darah binatang tersebut ke
badan mereka lalu mencucinya pula dengan susu. Setelah itu akan diadakan
perarakan besar-besaran yang diketuai dua pemuda tersebut dan mereka
berdua akan memukul orang ramai yang berada di laluan mereka dengan
kulit binatang dan para wanita akan berebut-rebut untuk menerima pukulan
tersebut kerana mereka beranggapan ianya akan menambahkan kesuburan
mereka. Semasa agama Kristian menguasai Rom, mereka mengadaptasikan
upacara paganism ini dan mewarnainya dengan nuansa Kristian. Mereka
menggantikan nama-nama gadis dengan nama-nama Paus atau Pastor. Antara
pendukungnya adalah Raja Konstantine dan Paus Gregory I.
Pendapat Kedua
Pendapat kedua pula mengaitkannya dengan kematian paderi St.
Valentine ketika pemerintahan Raja Rom yang bernama Claudius II.
Terdapat dua (2) kisah berkaitan dengan St. Valentine ini.
Versi pertama menyatakan bahawa pada masa pemerintahan Claudius
II, kerajaan Rom yang menyembah dewa-dewi, hidup dengan penuh mitos dan
lagenda amat memusuhi penganut agama Kristian. Para mubaligh Kristian
telah dipenjara serta disiksa. St. Valentine sebagai seorang yang tegar
menganut agama Kristian dan aktif menyebarkan ajaran tersebut turut
dipenjarakan oleh Cladius II. Dikhabarkan St. Valentine walaupun
dipenjarakan, beliau tetap tegar mengajar dan menyebarkan agama tersebut
di kalangan banduan-banduan penjara di samping membantu tawanan-tawanan
penjara meloloskan diri dari penjara. Kegiatan ini telah diketahui oleh
Cladius II dan beliau memerintahkan St. Valentine diseksa dan akhirnya
dihukum bunuh pada 14 Februari. Pengorban yang dilakukan oleh St
Valentine ini dianggap oleh penganut Kristian sebagai satu pengorbanan
yang besar demi kecintaan beliau terhadap agamanya. Malah St. Valentine
disamakan dengan Jesus yang dianggap oleh penganut Kristian mati kerana
menebus dosa yang dilakukan oleh kaumnya. Dikatakan juga bahawa ketika
di dalam penjara, beliau telah jatuh cinta dengan anak salah seorang
pegawai penjara dan di akhir hayatnya sebelum dibunuh, beliau sempat
menulis sepucuk surat cinta kepada gadis tersebut yang bertandatangan
‘From your Valentine’ (Daripada Valentinemu). Maka orang-orang Kristian
mengambil sempena 14 Februari itu untuk meraikan hari kasih sayang demi
memperingati hari kematian paderi mereka St. Valentine.
Versi kedua pula menyatakan bahawa Claudius II, yang berhadapan
dengan peperangan beranggapan bahawa anggota tentera yang muda dan masih
bujang adalah lebih tabah dan kuat ketika berada di medan peperangan
berbanding dengan mereka yang telah berkahwin. Justeru itu, Cladius II
menghalang para pemuda dari berkahwin. Namun demikian, St.Valentine
menentangnya dengan keras dan beliau telah melakukan upacara pernikahan
terhadap para pemuda Rom secara rahsia. Aktiviti St. Valentine ini
akhirnya diketahui oleh Cladius II lalu beliau mengarahkan St. Valentine
ditangkap dan dihukum gantung pada 14 Februari 269 M.
Pendapat Ketiga
Ia dirayakan bersempena kejatuhan Kerajaan Islam Andalusia di
Sepanyol dimana St. Valentine merupakan individu yang telah memainkan
peranan penting dalam usaha menjatuhkan kerajaan Islam itu. Disebabkan
sumbangan itu, St. Valentine dianggap sebagai kekasih rakyat. 14
Februari 1492 merupakan tarikh kejatuhan Islam di Sepanyol dan dianggap
pada hari itu hari kasih sayang kerana mereka menganggap Islam adalah
agama yang zalim.
Pendapat Keempat
Berdasarkan apa yang dinukilkan oleh Geoffrey Chaucer, seorang
penyair Inggris di dalam puisinya. Sambutan Hari Valentine ini
bersempena dengan sifat burung yang musim mengawannya pada 14 Februari.
Berdasarkan kepada versi-versi tersebut, ianya amat jelas tiada
hubungan sama ada secara langsung ataupun tidak langsung dengan budaya
kita mahupun agama bagi umat Islam. Malahan ianya amat terang lagi
tersuluh mempunyai kaitan dalam memperlekehkan aqidah Islam dan orang
Islam sendiri.
Kebejatan Acara Valentine’s Day
Sebenarnya bukan sekadar apa yang tersirat di sebalik amalan dan
kepercayaan berkenaan Sambutan Hari Valentine ini sahaja amat keji dan
perlu dihindari. Tetapi acara-acara jelek dan tidak boleh diterima oleh
budaya manusia bertamadun, menjadikan ianya perlu ditolak dan dipadamkan
dari takwim perayaan manusia madani dan memiliki pegangan aqidah yang
suci.
Lihatlah bagaimana saban tahun kebelakangan ini, media-media
mendedahkan pelbagai acara dianjurkan bagi mengamatkan Sambutan Hari
Valentine, khususnya kepada kalangan muda mudi. Ianya dicatur
berpaksikan kepada menzahirkan perasaan kasih dan sayang kepada pasangan
masing-masing. Amat jijik dan jelek sekiranya difikirkan dengan akal
pemikiran yang waras. Bagaimanakah seorang kekasih boleh menyerahkan dan
melakukan apa sahaja untuk kekasihnya tanpa ada sebarang ikatan demi
membuktikan perjanjian cinta?
Akan tetapi, apa yang amat mendukacitakan, acara tidak bertamadun
dan tidak bermata dalam menilai kehormatan sesama insan itu tetap
mendapat sambutan. Ia sukar dibendung. Jauh sekali untuk dibersihkan
sepenuhnya. Kesedaran pemikiran yang waras tercabut dengan hayalan dan
dongengan dek janji indahnya kasih sayang tanpa ada suluhan kebenaran
yang hak.
Berdasarkan kepada apa yang telah terjadi, sebenarnya Hari yang
bertemakan kepada menyanjungi dan mengagungi kasih sayang di kalangan
para kekasih menjadi hari permulaan bermulanya bencana dan kehancuran.
Sememangnya pada Valentine's Day akan muncul si Romeo dan si Juliet yang
mampu mengungkapkan bait-bait puisi seindah puisi William Shakespeare.
Tidak kurang pula juga mereka yang sehebat si Laila dan si Majnun dalam
bergelumang memperjuangkan kesetiaan cinta dengan bibir mengalunkan
kata-kata puitis seindah puisi Jamaludin Rumi. Itu semua hanya seketika
dek karamnya mereka di dalam bahtera gelojak nafsu tanpa nakhoda
keimanan. Keindahan detik ‘syurga’ ciptaan penuh tipu daya hanya wujud
pada hari itu sahaja. Ia akan ghaib entah ke mana setelah berakhirnya
Valentine’s Day.
Penderitaan, kekecewaan dan penyesalan akan menyelusuri. Ia akan
menggantikan nikmat yang tidak seberapa. Si Romeo yang menjanjikan
seribu kesetiaan menjadi halimunan bersama janjinya. Si Majnun yang
menaburkan selangit pengorbanan demi kasih, cinta dan setia bisu dan
ghaib entah kemana. Ia sudah terlambat untuk diatasi. Nasi sudah menjadi
bubur. Cempedak sudah menjadi nangka. Kekesalan sudah tiada gunanya.
Islam Ada Cara
Islam sebagai agama fitrah dan sempurna, sentiasa menganjurkan
kasih sayang sesama kekasih. Ini dapat dilihat melalui apa yang
diungkapkan di dalam Kitab Al-Quran dan dijelmakan oleh Rasulullah
s.a.w. bongkarlah khazanah yang ditinggalkan oleh Rasulullah s.a.w itu
bagi mencarinya.
Menzahirkan kasih sayang kepada kekasih perlulah ada batasan
selaras dengan fitrah manusia. Kasih sayang diantara dua jantina berbeza
tidak boleh hanya dengan janji manis di bibir. Tetapi ia perlu diikat
dengan satu ikatan akad yang mampu menyimpul ikatan kukuh bagi menjamin
zuriat, akhlak dan peribadi. Ikatan itu dinamakan sebagai perkahwinan.
Ia bukan bertujuan menyusahkan hubungan sesama manusia. Akan
tetapi, ia hanya bermatlamatkan menjadikan masyarakat yang stabil, aman
dan harmoni. Keindahan dalam menzahirkan kasih sayang itulah yang
dianjurkan oleh Islam dan perlulah disemai dan dibajai setiap hari tanpa
perlu menunggu detik satu hari dalam setahun.
Penutup
Bagi menyelamatkan agamadan ummah dari terus musnah akibat impak
amalan-amalan bertentangan dengan aqidah dan syariah sempena Valentine’s
Day ini perlulah disemaikan dalam setiap minda kita mewar-warkan
larangan Sambutan Valentine’s Day dari terus diraikan oleh umat Islam
khususnya di Negara kita. Wujudkanlah perasaan anti Valentine’s Day di
dada dan minda, hadirkanlah rasa benci dan tidak akan meraikannya
melalui penyertaan aktiviti-aktiviti yang menyalahi aqidah, syarak dan
tamadun manusia.
Credit : darulruqiyyah
2 comments:
sambut hari ulangtahun perkahwinan bolehkan? hahaha..
kalo mcm ko, bole la..hahaha..
mntau ufairah dpt adik ujung thn ni..
hehehe
Post a Comment